SHout






Jumaat, 30 Mac 2012

Siapa aku dihatinya Siri 12

Qaseh termenung di atas katilnya. Buku pelajaran dihadapannya tidak langsung menarik perhatian. Dia masih terfikirkan peristiwa petang tadi di kampus. Bila teringatkan peristiwa itu, darahnya menyerbu naik ke muka. Macam-macam perasaan timbul. Marah, geram dan rindu. Rindu? Betulkah dia pun rindukan lelaki itu? Qaseh bertanya dengan hatinya sendiri. Kalau aku tak rindu, kenapa aku masih terbayang-bayang wajahnya dalam setiap mimpiku. Aish, sakit jiwa macam ni.

Seketika kemudian, telefon bimbit yang ada di sisinya mengeluarkan nada lagu 'The Chosen One' dari Maher Zain. Nombor yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu membuatkan dahinya berkerut.

Siapa pula telefon malam-malam ni?” Qaseh melarikan jarinya di atas papan pemuka telefon bimbit miliknya.

Assalamualaikum...” suara yang keluar dicorong telefon bimbitnya menambahkankan lagi kekerutan didahinya. Lelaki?

Selepas puas berfikir Qaseh menjawab salam tersebut. “Waalaikumsalam...”.

Aik, lambat jawab salam. Tak baik tau lambat-lambat jawab salam. Dalam Islam, bagi salam tu sunat, tapi menjawab salam tu wajib kan...” lelaki tersebut memulakan bicara.

Siapa ni? Saya kenal awak ke?” soal Qaseh. Geram pula. Dah lah tak kenal. Nak sekolahkan orang pula.

Awak dah lupakan saya? Takkan tak kenal saya langsung?”

Qaseh menggaru kepalanya yang tidak gatal. Adeh, siapa pula lelaki tersebut. Jarang ada lelaki yang telefon dia malam-malam buta begini. Kalau ada pun, mungkin adikknya atau ayahnya. Tak mungkinlah...

Sayalah...Shah!” ujar lelaki tersebut sambil ketawa kecil.

Shah? Shah mana?” seingat Qaseh dia tiada kawan kampus yang bernama Shah. Qaseh betul-betul lupa.

Qaseh, betul awak tak cam suara saya? Saya Shah, abang Liza...” Shah menjawab perlahan.

Ya Allah, Shah! Maaflah saya memang tak cam suara awak. Sorry tau!” Qaseh girang apabila dia betul-betul pasti suara di corong telefon itu adalah Shah. Salah seorang lelaki yang sedang dirinduinya. Mak aih...ramai betul lelaki yang dirindu.

Ye lah, siapalah saya ni awak nak ingatkan saya.” ada nada rajuk di dalam ayat yang dilafaz Shah.

Eh, awak...janganlah macam tu. Seriously saya memang tak cam suara awak. Lagipun, awak dan saya mana pernah cakap dalam telefon.” buat seketika Qaseh dan Shah terdiam. Betul juga. Mereka mana pernah bercakap dalam telefon. Terakhir mereka jumpa lebih kurang setahun lepas sebelum Qaseh menyambung pelajaran. Waktu itu, Qaseh kemalangan di Shah Alam.

Er...awak sihat?” soal Shah memecah kesunyian di antara mereka.

Alhamdulillah...awak?” soal Qaseh kembali.

Alhamdulillah, sihat juga. Qaseh dah makan ke ni?” Shah kebuntuan idea untuk berbicara dengan Qaseh. Sedangkan dirinya yang beria-ia untuk menelefon Qaseh tadi.

Hihihi...awak ni Shah. Mestilah saya dah makan. Awak nak tanya apa lagi? Kalau nak tanya saya dah mandi...of course saya dah mandi, dah solat dan tinggal nak tidur je ni.” balas Qaseh panjang lebar. Dia berseloroh.

Dia tahu Shah kebuntuan idea dan hilang kata-kata untuk berbicara dengannya. Sebenarnya dia juga begitu. Namun, hakikatnya, jauh disudut hati, dia memang teringin untuk berbicara dengan lelaki itu. Kenapa? Dia sendiri kurang jelas dengan apa yang ada difikirannya.

Saya cuma nak ucap selamat ulangtahun kelahiran yang ke 26. Semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dan semoga Allah memberkati Qaseh. Insya-Allah...” ucap Shah tiba-tiba.

Terkedu Qaseh seketika. Airmatanya mengalir tanpa dipinta. Esakan kecil mula kedengaran. Namun, Qaseh menahan agar dia tidak meraung ketika itu. Tiba-tiba dia teringatkan ibunya. Hanya tuhan sahaja tahu betapa dia rindukan ibunya ketika itu. Kalau dahulu, sewaktu remaja, ibunyalah orang pertama yang akan memberi ucapan hari lahir kepadanya. Dan diiringi ayahnya yang membawa kek yang mempunyai lilin bernyala. Oh! Rindu sungguh saat itu. Tapi malam ini...orang lain yang mengucapkan kepadanya.

Awak...hei, awak janganlah nangis! Hari ni kan hari jadi awak. Awak mestilah kena gembira. Janganlah menangis eh...” pujuk Shah.

Terima kasih awak atas ucapan tu. Saya terharu sangat. Terima kasih sekali lagi...” ujar Qaseh sambil menahan esakan.

Eh, tak da apa lah. Saya okey je. Nasib baik tadi saya telefon Liza. Dia yang cakap esok hari jadi awak. Itu yang saya telefon malam-malam ni. Saya nak jadi orang pertama yang ucap selamat hari jadi kat awak. Boleh kan?” soal Shah.

Tapi kan awak...saya dah 27 tahun, bukan 26 tahun” terang Qaseh pada Shah. Dia mahu tergelak sebenarnya. Hilang semua resahnya bila dapat berbicara dengan lelaki itu. Ajaib.

Eh! 27 eh...bukan 26?” Shah mengajukan soalan pula pada Qaseh. Saat itu, dia sedang menggaru kepalanya yang tidak gatal.

Bukan...dah tua dah!” serentak itu Qaseh dan Shah ketawa kecil. Lucu.

Itu je ke yang awak nak cakap dengan saya?” soal Qaseh apabila kesunyian kembali menguasai mereka.

Erm, tu je kot! Kenapa? Awak tak suka saya telefon? Kalau tak suka tak pe. Saya boleh letak telefon sekarang!” soalan Qaseh itu membuatkan Shah sedikit tidak berpuas hati. Dia seakan-akan ingin berbicara dengan lebih lama lagi dengan gadis itu. Suara gadis itu seperti menyembunyikan beribu masalah yang membuatkan dia teringin sangat mengetahuinya.

La...taklah...saya sebenarnya tak tahu nak cakap apa dengan awak” ujar Qaseh jujur.

Qaseh membetulkan bantal kepalanya dan dia membaringkan dirinya. Sambil membetulkan rambutnya dia berdehem untuk menyedarkan Shah yang diam sahaja dicorong telefon.

Aa..Qaseh! Boleh tak esok saya nak jumpa dengan awak? Dah lama kita tak jumpa kan. Bolehlah kita berborak-borak.” Shah teragak-agak untuk mengajak Qaseh berjumpa. Dia tidak mahu apa yang berlaku setahun lepas berulang kembali. Kali ini dia berjanji dengan dirinya untuk menjaga percakapannya dan kelakuannya. Tidak sanggup rasanya melihat orang yang dicintai terlantar sakit.

Hah? Nak jumpa? Awak nak jumpa saya kat mana? Kat sini ke?” soal Qaseh bertalu-talu kerana tidak percaya dengan ajakan Shah. Jauh tu, Kedah dan Selangor.

Ye lah, saya nak jemput awak kat asrama awak. Boleh?”

Ya Allah, Shah...jauh tu. Saya kat Kedah. Awak kat Selangor. Beratus kilometer tau tak.” Qaseh masih tidak percaya. Takkanlah semata-mata ingin berjumpa dengannya Shah sanggup datang sejauh itu.

Yup! Saya tak kisah lah awak. Untuk awak. Insya-Allah saya sanggup buat apa je asalkan boleh berjumpa dengan awak. Dan untuk pengetahuan awak, saya memang dah ada kat Kedah ni. Mungkin dalam setengah jam lagi saya akan sampai Sintok. Saya akan cari mana-mana hotel untuk saya menginap malam ni. Esok pagi-pagi saya jemput awak ye. Esok awak takde kelas kan?”

Sekali lagi Qaseh terkedu dengan penjelasan Shah. Tak mungkin. Kenapa dia sanggup buat macam tu semata-mata untuk dirinya. Sebenarnya siapa dia dihati lelaki itu? Qaseh keliru. Adakah Shah masih menyimpan perasaan terhadapnya?

Qaseh? Awak ada lagi ke?”

Ada...ada...sorry. Okeylah awak. Esok saya tunggu awak depan pintu asrama ye!” jawapan Qaseh itu membuatkan Shah tersenyum girang. Rasanya kalau dia tak memandu waktu itu, mahu je dia melompat kesukaan.

Terima kasih, Qaseh. Esok saya tunggu kat depan pagar pukul 10 pagi ye. Okaylah, bye! Assalamualaikum!” Shah mematikan talian telefon sambil tersenyum. Esok adalah hari yang paling bahagia untuk dirinya.

Waalaikumsalam!” jawab Qaseh perlahan walaupun waktu itu talian sudah dimatikan.

Dia terkedu. Pakaian apa yang perlu dia pakai pada hari esok? Seluar atau skirt labuh? Baju kurung? Yup! Baju kurung yang baru aku tempah untuk raya akan datang ni. Hai baju! Nasib kaulah...tak sempat nak jadi baju raya aku. Aku dah rasmi dulu. Hihihi...
 

Tiada ulasan:

 

Template blog dihasilkan oleh alif ismail