SHout






Ahad, 15 Januari 2012

Cinta Kasih Suci #2

#Berpisah

Cabaran hidup Intan bermula sejak ayah Intan memberitahu bahawa mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke Kuala Lumpur. Kerana pekerjaan ayah Intan memerlukan mereka berpindah. Intan mula berasa berat hati. Berkali-kali Intan memujuk ibunya, agar dirinya dibenarkan tinggal di asrama sekolah. 
Sememangnya sekolah Intan adalah sebuah sekolah berasrama penuh. Namun, hanya kerana jarak sekolah Intan dan rumah hanya beberapa kilometer, Intan dibenarkan untuk tidak tinggal di asrama. Itupun, hasil dari rayuan bapanya yang juga seorang AJK PIBG di sekolah Intan.
Sebenarnya, Intan berat hati untuk meninggalkan kawan-kawan sekolah dan kawan-kawan sejiran. Hati mana yang tidak sedih jika terpaksa berpisah dengan kawan-kawan sepermainan dari kecil. Sedih Intan bukan kepalang. Seharian Intan menangis sejak diberitahu ibunya bahawa Intan akan bertukar sekolah. 

Akhirnya, Intan akur. Dia tidak berani untuk mengatakan tidak kepada ayah dan ibunya. Intan juga terfikirkan adiknya Fatihah. Jika dia tiada, siapa yang akan bermain dengan adiknya itu. Hanya dia satu-satunya kakak yang adiknya ada. 

#Berkhayal
Hari pertama Intan di sekolah barunya agak membosankan. Mungkin kerana Intan masih tidak mempunyai teman untuk berbicara. Sewaktu pelajar lain sibuk mengisi perut mereka dengan makanan yang dijual di kantin sekolah, Intan hanya termenung sahaja.

Intan rindukan teman di sekolah lamanya. Jika mereka ada, tidaklah dia sunyi begini. Tiba-tiba bunyi loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat telah tamat. Intan yang masih lagi termenung tidak sedar dirinya diperhatikan oleh seorang pengawas sekolah dengan muka yang garang.

"Awak! Hei, awak!" Pengawas itu memanggil Intan dan kemudiannya meninggikan nada kerana Intan tidak memberi tindakbalas terhadap panggilannya. Pengawas itu menghampiri Intan dan kemudian menepuk meja dihadapan Intan sehinggakan Intan terjaga dari lamunannya.

"Astaghfirullahalazim.." ucap Intan kerana dia sungguh terkejut dengan tindakan pengawas itu. Intan memandang pengawas itu dengan mimik wajah terkejut. Hilang segala lamunan Intan. Hilang semua wajah-wajah teman-teman sekolah Intan. Semuanya hilang sekelip mata kerana terkejut dengan hentakan meja yang dibuat oleh pengawas dihadapannya.

"Kenapa biadap sangat ni? Tak boleh ke panggil orang elok-elok? Kalau saya sakit jantung macamana? Awak nak bertanggungjawab ke kalau saya pengsan kat sini?" Intan memarahi pengawas itu dengan panjang lebar. Sambil itu, Intan memerhatikan sekeliling kantin yang telah kosong. Intan menjadi pelik.

"Hei, cik adik! Saya dah panggil awak dengan baik, awak tak menyahut. Bila saya panggil awak dengan kuat pun awak tak menyahut. Jadi, saya tepuklah meja ni supaya awak sedar. Yang awak nak marah-marah saya kenapa? Saya yang sepatutnya marah kat awak! Kenapa awak masih duduk kat sini? Tak nak masuk kelas? Nak ponteng kelas ker?" Pengawas itu memarahi Intan kembali .

Intan menjadi gugup kerana dia telah tersedar yang dia bersalah. Dia hanya mendiamkan diri dan bersedia untuk melangkah pergi dari situ. Merah mukanya kerana malu. Malu kerana memarahi pengawas itu, sedangkan sudah terang lagi nyata bahawa dia yang bersalah. Tanpa sepatah kata, Intan berlalu dari situ. Malu. Sungguh malu.

#Cinta Pandang Pertama
Keesokkan harinya di sekolah, Intan diminta berjumpa dengan Guru Disiplin. Gugup Intan tiada siapa yang tahu. Adakah kerana kisah semalam? Mungkinkah pengawas tersebut telah melaporkan kepada Guru Disiplin berkenaan dirinya yang lewat masuk ke kelas selepas rehat. Resah Intan tidak terkata.

Sebaik sahaja Intan memasuki bilik Guru Displin tersebut, Intan terpandang seorang pengawas lelaki yang sedang bercakap dengan Guru Disiplinnya. Semakin dekat Intan dengan meja gurunya itu, semakin jelas kedengaran suara pengawas itu. Oh, tidak! Intan kenal suara itu. Suara pengawas yang memarahinya semalam. Habislah! Fikir Intan.

"Awak Intan?" tanya guru itu. Intan hanya mengangguk sambil melangkah ke meja Guru disiplin tersebut. 
"Mari, duduk disini. Ada perkara yang ingin saya bincang dengan awak." Puan Normah iaitu Guru Disiplin tersebut menyuruh Intan duduk. Namun, nadanya tidaklah kedengaran seperti ingin memarahi Intan. Intan pelik. Dia tertanya-tanya dalam hati. Apa yang ingin dibincangkan oleh gurunya itu.

Pada waktu yang sama, pengawas lelaki itu berpaling dan pandangan mereka bersatu. Jantung Intan berdebar hebat. Tidak pasti adakah kerana takut akan pengawas itu atau kerana sesuatu yang lain. Pengawas itu tersenyum apabila melihat Intan. Intan tidak membalasnya, kerana dia masih malu dengan kejadian semalam. 
Dia pasti, itulah pengawas semalam yang dimarahi olehnya. Walaupun Intan tidak mengecam wajah pengawas itu kerana pada waktu itu, Intan hanya menunduk sahaja. Sempat Intan mengerling tanda nama di baju pengawas itu. Seakan berbisik, Intan menyebut "Haris Safwan". Kini, Intan telah mengetahui nama pengawas itu. Dan Intan juga yakin pengawas itu telah mengetahui namanya.

#Terkejut

"Intan, sila duduk" Puan Normah mempelawa Intan duduk apabila dia melihat Intan seakan gugup dan takut. 
"Awak tahu kenapa saya panggil awak?" soal Puan Normah sambil mengambil sesuatu di dalam meja kerjanya. 
"Tak tahu puan. Saya ada buat salah ke puan?" soal Intan pula kepada guru tersebut. Puan Normah hanya tersenyum. Dia sudah biasa dengan soalan itu. Soalan yang sering ditanya setiap pelajar yang dipanggil masuk ke biliknya. 
Dengan lembut Puan Normah menjawab "Tidak, awak tidak buat apa-apa salah pun. Cuma saya ingin menawarkan kepada awak jawatan pengawas di sekolah ini. Saya ada membaca rekod pelajar awak dari sekolah lama. Dan saya dapati awak layak untuk memikul tanggungjawab ini dengan baik. Awak mahu?" 

"Er...boleh tak saya beri jawapannya esok puan? Saya perlu bertanya pada ibu dan ayah saya terlebih dahulu sebelum saya memberi jawapan." balas Intan dengan nada yang sangat terkejut. Dia hanya menunduk ke lantai bagi mengelakkan perasaannya itu diketahui gurunya.

"Oh, baiklah. Tetapi, kalau boleh saya ingin kamu menjadi pengawas. Kerana sekolah kita sekarang kekurangan pengawas dan lagipun saya percaya kamu adalah calon yang layak dan saya yakin kamu pasti boleh." Puan Normah menerangkan kedudukan sebenar sambil menandatangani sehelai surat. Lalu surat itu diserahkan kepada Intan.

Intan mengambil surat tersebut dan membacanya. 'SURAT TAWARAN PERLANTIKAN SEBAGAI PENGAWAS SEKOLAH'. Surat itu ditujukan kepada ayah Intan. Nampaknya, Puan Normah bersungguh-sungguh ingin Intan menjadi pengawas sekolah. Cuma, Intan tidak pasti apakah jawapan ayah dan ibunya nanti.

#Gembira dan Geram
Hari ini adalah hari perlantikan pengawas baru bagi sekolah Intan. Intan adalah salah seorang pengawas baru yang akan dilantik. Intan gembira bukan kepalang apabila ayahnya membenarkan dirinya menjadi pengawas sekolah asalkan dirinya tidak mengabaikan pelajaran. Lebih-lebih lagi tahun tersebut Intan bakal menghadapi Peperiksaan Menengah Rendah.

Intan bersiap sedia untuk menerima sijil yang akan disampaikan oleh Pengetua sekolah. Kini tibalah giliran Intan. Apabila Intan hadir kehadapan untuk menerima sijil, satu tepukan gemuruh diberikan. Bangga sungguh Intan waktu itu, kerana dia satu-satunya pengawas perempuan yang dilantik pada tahun tersebut.

Setelah majlis tamat, Intan membantu rakan-rakan pengawas lain untuk mengemas tapak perhimpunan. Sedang Intan menyusun semula kerusi, Intan secara tidak sengaja terlanggar seorang pengawas lain yang juga sedang menyusun kerusi. Terkejut bukan kepalang Intan apabila mendapati pengawas yang dilanggar secara tidak sengaja itu adalah Haris Safwan. Pengawas yang dimarahi olehnya tempoh hari. 

Intan mengeluh kecil. Kenapalah aku asyik bertembung dengan dia ni. Tak ada orang lain ke aku nak cari fasal. Balik-balik dengan mamat ni. Intan bermonolog sendirian.

"Awak ni memang suka termenung ye? Awak tahu tak, kalau awak asyik termenung macam tu, awak boleh jadi 'ikan termenung' tau tak?" sindir Haris Safwan apabila Intan tidak meminta maaf setelah terlanggarnya. Yang menambahkan geram dihati Haris Safwan apabila dilihatnya Intan berlagak seperti tidak bersalah.

"Eh, awak cakap baik sikit tau! Suka-suka hati nak panggil orang 'ikan termenung'. Kalau saya ikan, awak tu kucing! Asyik nak terkam ikan saja kerjanya." Intan membalas balik kata-kata Haris Safwan. Dia geram dengan perangai Haris Safwan yang suka menyindir dirinya. "Macam bagus sangat!" sindir Intan pula.

"Sebab saya baguslah, saya jadi pengawas. Kalau saya tak bagus, mana layak saya nak jadi pengawas." Haris Safwan menjawab sambil menegakkan badan. Berlagak seperti seorang yang memang bagus.

"Kalau macam tu, saya pun baguslah sebab saya pun jadi pengawas!" Intan masih tidak mahu mengalah dengan Haris Safwan. Jelingan tajam dihadiahkan kepada Haris Safwan. Intan berlalu dari situ. Malas dia ingin melayan orang macam Haris Safwan tu. Kalau dilayan, mungkin keadaan akan menjadi lebih teruk. Sebaiknya Intan mengalah dari terus berbalah seperti anjing dan kucing.

 
 

2 ulasan:

Unknown berkata...

alahai cinte kekanak sungguh

Unknown berkata...

mesti ada sambungan lagi kan?? heee. akan sabar menunggu. nak baca lagi. :D

 

Template blog dihasilkan oleh alif ismail